Wednesday, March 4, 2015

BENGKEL PENDIDIKAN INKLUSIF 2015

Anjakan 4: Transformasi Keguruan Sebagai Profesion Pilihan




Bengkel Pendidikan Inklusif ini adalah bertujuan untuk  memberikan pendedahan awal kepada para guru pelatih Semester 7 tentang pelaksanaan dan pengurusan pendidikan inklusif di sekolah. Fokus yang diberi penekanan dalam bengkel ini merangkumi jenis serta matlamat Program Pendidikan Inklusif. Program Pendidikan Inklusif Penuh ialah program pembelajaran yang menempatkan murid berkeperluan khas untuk belajar secara sepenuh masa bersama murid aliran perdana, manakala Program Pendidikan Inklusif Separa pula merupakan program pembelajaran yang menempatkan murid berkeperluan khas dalam aliran perdana untuk belajar mata pelajaran tertentu sahaja. Pada masa yang sama, Program Pendidikan Inklusif ini juga memberi ruang dan peluang kepada murid berkeperluan khas supaya dapat belajar bersama-sama murid normal yang lain dalam satu kelas yang sama.

Objektif

1. Memberi pendedahan dan pengalaman kepada guru pelatih dalam menguruskan dan melaksanakan strategi PdP dalam bilik darjah inklusif.
2.    Memberikan kesedaran kepada para guru pelatih tentang hak sama rata rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan bekeperluan khas dalam mendapat peluang pendidikan. 
3.    Mencetuskan kreativiti dan inovasi dalam kalangan guru pelatih dalam merancang penggunaan kaedah –kaedah yang sesuai untuk kelas inklusif.
4. Meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran guru pelatih dalam bidang pendidikan kelas inklusif di sekolah.

Pengisian program

Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr Roziah binti Abdullah. Dalam ucapannya, beliau menegaskan; “program kelas inklusif ini adalah program yang memasukkan beberapa murid berkeperluan khas di dalam kelas arus perdana (kelas yang mempunyai kanak – kanak normal) dalam memberikan kesamarataan peluang pendidikan kepada golongan berkeperluan khas ini untuk belajar bersama kanak – kanak normal yang lain”.
   
Bengkel diteruskan dengan pembentangan pengenalan dan penubuhan Kelas Inklusif yang selaras dengan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh UNESCO dan juga akta – akta lain yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan iaitu En Mohd On bin Ahmad. Sesi selama satu jam setengah tersebut dipenuhi dengan sesi soal jawab bersama peserta tentang maksud kelas inklusif dan perbezaannya dengan kelas pendidikan khas.

Sesi dua dan tiga diambil alih oleh penceramah jemputan iaitu Pn Wan Nomi binti Wan Omar dari Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam slot ini beliau menekankan tentang teknik pengajaran murid masalah pembelajaran dan strategi – strategi pengurusan bilik darjah inklusif. Perkara utama yang harus ditekankan dalam kualiti pengajaran ialah keupayaan seorang guru itu sendiri untuk menyampaikan pengajaran, konsep, mahupun kemahiran yang mudah difahami oleh pelajar. Antara tips yang dikongsikan bagi memastikan keberkesanan dan kualiti pembelajaran ialah guru perlu menyampaikan isi pembelajaran dan pengajaran secara tersusun dan sistematik, menggunakan bahasa yang mudah dan bersesuaian dengan tahap pemahaman murid, memberikan penerangan serta contoh-contoh yang berkaitan dan mudah difahami, di samping menggunakan alat bantu mengajar untuk membantu pemahaman murid. Dalam pada itu, minat dan semangat murid untuk belajar hendaklah dipupuk dengan memberi galakan untuk terus belajar dengan cara memberi motivasi, markah, pujian, mahu pun hadiah.
Selain itu, beliau turut menegaskan beberapa faktor yang perlu diambil perhatian dalam menentukan strategi pembelajaran dan pengajaran yang sesuai dalam kelas inklusif,  antaranya merangkumi tahap keupayaan dan potensi murid, minat dan kecenderungan murid, gaya atau stail pembelajaran murid, status kesihatan murid, serta jenis ketidakupayaan yang dialami murid. Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan konsep kesamarataan terhadap murid di mana guru perlu sedar bahawa murid berkeperluan khas mempunyai keinginan untuk belajar dan berjaya seperti murid normal yang lain. Beliau juga menasihati supaya guru perlu bersikap positif,  sentiasa bersemangat, dan percaya semua murid boleh belajar dan mampu berjaya.

Beliau menunjukkan demo dan juga praktikal ringkas yang sedikit sebanyak memberikan gambaran jelas kepada para guru pelatih tentang cara-caraberhadapan dengan murid – murid berkeperluan khas ini terutamanya kepada guru pelatih yang bukan opsyen pendidikan khas. Program ini dilihat sebagai satu wadah yang baik untuk menyampaikan mesej dan juga input yang berguna dan boleh diamalkan di sekolah kelak.

Sebagai kesimpulannya, bengkel ini merupakan satu usaha oleh pihak Jabatan Ilmu Pendidikan menyiapkan bakal guru dengan pelbagai kemahiran untuk mendepani cabaran pendidikan yang kian mencabar pada masa akan datang. Penghayatan terhadap program-program pendidikan seperti ini dapat membantu guru untuk mendidik anak murid yang terdiri daripada pelbagai keupayaan di dalam satu kelas.














No comments:

Post a Comment